KUCHING, 11 Ogos: Sebanyak 7,500 tiket bagi menyaksikan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 akan diagihkan secara percuma.
Tiket percuma itu akan diagihkan secara percuma pada 12 dan 13 Ogos ini di Stadium Sarawak.
Orang ramai yang ingin menyaksikan upacara gilang gemilang di Stadium Sarawak di sini, boleh mendapatkan tiket bermula jam 10 pagi sehingga selesai.
Setiap seorang hanya dibenarkan mengambil empat tiket sahaja dan setiap tiket hendaklah disertakan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
Bertemakan ‘Semangat Perpaduan Membara’, SUKMA Sarawak 2024 akan berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos dengan lebih 400 acara dipertandingkan.
Temasya SUKMA ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan, membabitkan sembilan bahagian di Sarawak dijadikan venue penganjuran.
Diadakan di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri ia menyaksikan lebih 10,000 atlet dan pegawai dari setiap negeri dalam Malaysia dan kontinjen jemputan dari Brunei.-TVS