SANDAKAN, 11 Ogos: Skuad ragbi lelaki Sabah bersedia menghadapi tentangan sengit pasukan dari Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan pada acara sukan itu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung di Miri, Sarawak.
Jurulatih Serupepeli Naqasima yakin kebolehan anak buahnya meraih sekurang-kuranganya pingat gangsa, walaupun berdepan saingan hebat terutamanya daripada “Borneo Brothers” dan tuan rumah, Sarawak.
Beliau berkata pasukan Sabah menumpukan sepenuh perhatian untuk mencapai penamat podium dengan menjalani latihan di Sandakan.
“Proses pemilihan bermula dengan 35 pemain daripada Sukan Sabah (SAGA) dan selepas melalui latihan, 13 pemain berbakat dari seluruh Sabah yang menunjukkan potensi besar telah dipilih. Mereka menjalani kem latihan yang ketat untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan SUKMA di Miri,” katanya kepada Bernama.
Acara ragbi SUKMA dijadualkan berlangsung di Stadium Miri dari 19 hingga 22 Ogos.
Naqasima berkata adalah penting untuk membina keyakinan terhadap ahli pasukan, bukan sahaja bagi kejohanan kali ini, tetapi juga pada SUKMA edisi seterusnya.
“Sasaran kami ialah podium, sekurang-kurangnya pingat gangsa, namun kami sedang berusaha menyemai keyakinan pada generasi atlet SUKMA akan datang,” katanya dan menambah pasukan bimbingannya kini pada peringkat akhir persiapan.
Beliau berkata cabaran terbesar ialah menyeimbangkan komitmen atlet, terutama mereka yang belajar di universiti dan tinggal jauh dari Sabah kerana beliau sukar memantau mereka, namun diharapkan dengan program latihan diberikan, seluruh pasukan akan dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan itu nanti.
“Hanya seorang ahli pasukan daripada SUKMA 2022 yang akan beraksi, dan beliau memainkan peranan penting memberi motivasi kepada pemain muda sepanjang persiapan dan temasya di Miri,” katanya.
Skuad ragbi lelaki Sabah kali terakhir mengecap kejayaan pada SUKMA 2011 apabila memenangi pingat perak. -TVS