KUCHING, 11 Ogos: Program Komuniti Madani diadakan untuk membantu meningkatkan tahap penghayatan ilmu dan rohani serta meringankan bebanan, memberi manfaat, dan kesejahteraan kepada komuniti di kawasan yang daif dan yang ditimpa kesusahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Tambah beliau, program tersebut merupakan program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak bersama Bahagian Dakwah JAKIM Putrajaya dan Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi agama dan korporat bersama masyarakat setempat.
“Pada hari ini, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbangkan sebanyak RM33,000. Tabung Musaadah JAKIM-Yayasan Wakaf Malaysia pula menyumbang sebanyak RM15,000. DRB-HICOM pula menyumbang sebanyak RM5,000 kepada 200 orang asnaf dan 100 Ketua Isi Rumah melalui Bakul Rahmah Madani.
“Manakala Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM pula menyumbang sebanyak RM7,250 kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Salak berupa tiga unit laptop, 200 unit Muqaddam dan alat tulis, di mana keseluruhan sumbangan pada hari ini adalah berjumlah RM60,250,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Program Komuniti Madani di Kampung Pulau Salak, Kuching pada Ahad.
Seramai lebih 300 orang penduduk Kampung Pulau Salak terlibat dalam program tersebut. -TVS