Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang berakis dalam acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 semalam. Foto Instagram azizulhasniawang

Paris 2024: Azizulhasni jelaskan apa berlaku, minta rakyat Malaysia doakan kejayaan Shah Firdaus

BySharifah Anira

KUCHING, 11 Ogos: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang tampil menjelaskan kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan penyertaannya dibatalkan pada heat pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.

Azizulhasni berkata, ketika undian dibuat dia mendapat posisi terakhir dan hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, keputusan adalah untuk terus ke hadapan bagi mendapat posisi paling depan seawal mungkin.

Paris 2024: Shah Firdaus mara ke suku akhir keirin lelaki

Jelas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, ini kerana terdapat pelumba lain mungkin akan memecut awal sekali gus meletakkan dia dalam situasi sukar untuk ke hadapan.

“Akan ada kemungkinan blocking dan gapping oleh beberapa pelumba lain jika saya menggunakan taktik menunggu, jadi saya harus memilih taktik terbaik bagi meningkatkan peluang menang dan bergerak awal ini juga saya lakukan ketika Olimpik Tokyo.

“Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar, saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan – lahan, ini sama seperti saya lakukan pada Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dan perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut,” kongsi beliau menerusi hantaran di Instagram pagi ini.

Dalam perlumbaan malam tadi, penyingkiran pelumba berbasikal negara yang menjadi sandaran untuk meraih pingat emas itu mengejutkan peminat sukan tanah air.

Paris 2024: Shah Firdaus mara ke suku akhir keirin lelaki

Pada aksi di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Paris bekas juara dunia itu dibatalkan penyertaan dalam saringan pertama selepas dia didakwa melintas pacer terlalu awal.

Tambah Azizulhasni, sebelum memasuki selekoh keempat, dia dihimpit secara agresif oleh pelumba tuan rumah dan melihat perbuatan itu dilakukan dengan niat kerana dia turut dilanggar malah hampir terjatuh.

“Saya terselamat kerana reaksi pantas dan kemahiran mengawal namun tidak cukup dengan itu, pelumba Perancis masih mengekori rapat dan terus cuba menghimpit, dalam keadaan itu saya bergerak ke hadapan untuk mengelak.

“Sebagai seorang pelumba keirin elit, kita tahu kelajuan untuk pacer semalam dan biasanya di lap terakhir, pacer akan memecut keluar selepas selekoh keempat pada kelajuan 50-55 kilometer akan tetapi tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memeceut,” katanya.

Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan The Pocket RocketMan berkata, dia yang sedang bersaing dengan pelumba Perancis itu menyedari pacer belum memecut keluar.

“(Saya) terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking tetapi malangnya tidak sempat untuk memperlahankan kelajuan.

“Berdasarkan peraturan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer.

“Adakah tayar belakang saya memotong pacer, jawapannya ya akan tetapi ianya dilakukan tanpa niat dan juga disebabkan oleh dua keadaan tadi,” katanya.

Tambah Azizulhasni, jurulatihnya terus berjumpa dengan panel komisioner dan menjelasan keadaan serta memohon mereka melihat semula video namun mengekalkan pembatalan penyertaannya.

Sementara itu tambah beliau sebelum ini terdapat situasi di mana ada pelumba melakukan kesalahan secara sengaja atau tidak sengaja dan diberikan peluang oleh pengadil.

“Boleh rujuk perlumbaan semi final sprint membabitkan pelumba Great Britian dengan Holland dan juga perlumbaan suku akhir antara Jepun dengan Great Britian,” katanya.

Kata Azizulhasni lagi kejadian itu juga mengingatkan pada final keirin Sukan Olimpik Rio 2016 yang mana perlumbaan dihentikan dua kali dan dimulakan semula tanpa seorang pelumba disingkirkan.

“Sukan lumba basikal track memang keputusan mutlak bergantung kepada panel hakim walaupun dahulu jurulatih boleh membawa hujah video untuk dinilai kembali tetapi kini semuanya sudah diubah,” katanya.

Bergerak ke hadapan, Aizzulhasni berkata, beliau berharap semua pihak dapat memberikan sokongan dan doa kepada Muhamad Shah Firdaus Sahrom yang menggalas tanggungjawab dan harapan untuk membawa pingat emas kepada Malaysia.

“Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya,” akhiri Azizulhasni. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan