LONDON, 11 Ogos: Erik ten Hag berkata, Manchester United perlu merasai kesakitan tewas penentuan penalti Perisai Komuniti kepada Manchester City untuk membakar semangat menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris.
United begitu hampir untuk mengulangi kejayaan Piala FA musim lalu, menewaskan City dalam aksi final di Wembley pada Mei, apabila Alenjadro Garnacho memecah kebuntuan pada minit ke-82.
Bagaimanapun tandukan Bernardo Silva mengheret permainan ke penentuan penalti, dengan kemenangan berpihak kepada City, 7-6.
“Apabila persembahan sudah bagus dan anda tewas, semua orang merasakannya. Ia amat menyakitkan.
“Anda tentu rasa sakit ini dan kami perlu merasai kesakitan ini. Kami perlu membawa rasa ini ke dalam saingan liga,” kata Ten Hag.
City sudah memenangi liga empat kali berturut-turut tetapi ini adalah kali pertama mereka memenangi aksi pembukaan musim selepas tewas kepada Leicester, Liverpool dan Arsenal sepanjang tiga tahun lalu.
“Untuk memulakan musim dengan gelaran adalah bagus. Kami sangat gembira.
“Memang bagus bermain dalam perlawanan ini kerana ia menunjukkan anda memenangi sesuatu musim sebelumnya.
“Kita dapat lihat bagaimana pemain-pemain bangkit. Sasaran sekarang ialah bukan memenangi Liga Perdana Inggeris, ia adalah ‘Baik, kita cuba menang perlawanan seterusnya’. Ini yang perlu kami lakukan,” kata pengendali City, Pep Guardiola.
City turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang lewat menyertai pra-musim kerana terbabit dalam Euro 2024 dan Copa America.
Trio England, Kyle Walker, John Stones dan Phil Foden, serta pemain Sepanyol, Rodri masih belum menyertai latihan selepas berjaya ke final Euro 2024.
Sebaliknya Ten Hag, yang terdesak memenangi satu lagi trofi, menurunkan pemain remaja, Kobbie Mainoo yang turut beraksi untuk England di final Euro 2024.
Dalam penentuan penalti, Silva menyaksikan sepakannya diselamatkan Andre Onana.
Namun kedudukan kembali seimbang apabila Jadon Sancho gagal menyempurnakan sepakan untuk United.
City berpeluang memenangi perlawanan apabila sepakan Jonny Evans melepasi palang, dan Manuel Akanji memastikan kemenangan dengan penalti kemenangan.-TVS