Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel ke atas Sekolah al-Tabin di Bandaraya Gaza pada Sabtu yang mengorbankan lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di situ. Foto, AFP.

Malaysia kutuk sekeras – kerasnya serangan kejam Israel ke atas Sekolah Al- Tabin, Gaza

ByBernama

PUTRAJAYA, 11 Ogos: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel ke atas Sekolah al-Tabin di Bandaraya Gaza pada Sabtu yang mengorbankan lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di situ.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan serangan yang disengajakan terhadap sekolah digunakan oleh warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal untuk berlindung bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia secara terang-terangan, tetapi juga merupakan jenayah berat terhadap kemanusiaan.

Sekolah Gaza diserang: Algeria minta Majlis Keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar

Menurut Kementerian Luar, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, dan serangan itu juga mencederakan ramai yang lain dengan parah serta mungkin kehilangan nyawa kerana kekurangan bekalan perubatan sangat diperlukan.

“Israel telah menunjukkan dengan jelas sekali lagi bahawa ia tidak mempunyai sebarang keinginan untuk keamanan.

“Adalah tidak wajar bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berdiam diri apabila tentera pendudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak dan warga tua tanpa sebarang hukuman. Masyarakat antarabangsa seharusnya lagi bertolak ansur dan menerima keangkuhan Israel,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung adalah tidak boleh dipercayai.

Malaysia turut menyeru sekutu rejim Israel untuk memaksa Israel menghentikan segera pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah, dan berhenti menyediakan ‘alat’ kepada Israel untuk meneruskan genosid itu.

“Tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diperlukan untuk menguatkuasakan gencatan senjata kekal bagi membolehkan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin, dan memastikan rejim Zionis bertanggungjawab atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya.

Kementerian itu berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu untuk bekerjasama dengan semua negara anggota PBB yang lain dalam mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024.

“Masa untuk bertindak adalah sekarang. Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berhenti sehingga sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota yang sah dan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan