JAKARTA, 11 Ogos: Indonesia menghantar seramai 40 doktor dan pekerja perubatan sebagai satu bentuk misi keprihatinan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Kesemua yang dihantar adalah pasukan perubatan dari Tentera Nasional Indonesia (TNI) sebagai tindak balas terhadap krisis kesihatan yang semakin meruncing di kawasan konflik di sana.
Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto yang melepaskan pemergian mereka menegaskan keadaan di Gaza mengganggu rasa kemanusiaan dan oleh itu, Indonesia harus menunjukkan solidariti untuk Palestin.
“Bangsa Indonesia harus menunjukkan solidariti, sikap kemanusiaan demi mempertahankan semangat kemerdekaan, hak rakyat Palestin untuk hidup dan menentukan nasib sendiri tanpa penindasan,” katanya.
Beliau mendedahkan, penempatan petugas kesihatan TNI akan berlangsung selama empat bulan di wilayah El Arish, Mesir, menyesuaikan diri dengan perkembangan keadaan.
Rancangannya ialah mereka akan ditugaskan ke Hospital Terapung, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan salah satu pusat bantuan antarabangsa untuk misi kemanusiaan di Gaza dan akan berlepas dalam dua peringkat berikutan perkembangan berkaitan keselamatan.
Diharapkan bantuan ini dapat memberi sumbangan besar untuk mengurangkan penderitaan dan membantu pemulihan di Gaza.
Usaha ini juga mencerminkan komitmen Indonesia terhadap solidariti global dan sokongan terhadap usaha perdamaian. -TVS