SEPANG, 11 Ogos: Kumpulan AFFIN atau lebih dikenali sebagai AFFIN GROUP mengumumkan satu kerjasama dengan Sime Darby Auto Performance dalam sebuah permainan video e-sukan yang dikenali sebagai Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia.
Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama tersebut memberikan satu jalinan mesra dengan Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd dalam e-sukan.
Ia menawarkan AFFIN satu platform untuk berhubung dengan pelanggan, memberikan akses ekslusif dan mewujudkan pengalaman luar biasa.
Perlumbaan yang berlangsung dari 10 hingga 11 Ogos di Petronas Sepang International Circuit berjaya menghimpunkan 30 pelumba e-sukan melibatkan warga tempatan tanpa mengira usia.
Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia menggunakan format sama seperti perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia yang mana pelumba akan bersaing dengan kereta Porsche 911 GT3 Cup dengan tetapan sama untuk semua peserta.
Kerjasama yang melibatkan Porshe Malaysia itu merupakan penanda aras utama bagi AFFIN untuk melebarkan sayap ke dalam pasaran automotif.
Lebih menarik, kerjasama dengan Porsche Malaysia pada tahun lalu berjaya menarik lebih ramai pelanggan Affin Bank memilih kenderaan Porsche baharu sebelum mengemukakannya secara digital kepada AFFIN untuk pembiayaan sewa melalui jalur keutamaan.
Perkhidmatan keutamaan ini memastikan kelulusan segera apabila menerima semua maklumat yang disiapkan.
Komitmen AFFIN kekal untuk menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian kewangan selain sebagai rakan kongsi pembiayaan auto disukai.-TVS