KUCHING, 10 Ogos: Sukan Malaysia (SUKMA) boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk mengasah dan mencungkil bakat atlet muda untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia terutama Sukan Olimpik.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap kali SUKMA dilangsungkan, sudah pasti ada atlet muda yang dilahirkan dalam pelbagai jenis sukan.
“Sukan perlu diberikan penekanan sewajarnya kerana melalui temasya seperti ini (SUKMA), kita dapat mengasah bakat atlet untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan bukannya jaguh kampung sahaja.
“Sepanjang mengikuti Sukan Olimpik yang berlangsung di Paris, Malaysia masih belum meraih pingat emas namun negara jiran seperti Indonesia dan Singapura sudah melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Media Utama SUKMA ke-21 di sini, hari ini.
Karim pada masa sama berharap Malaysia mampu menuai pingat emas pada Sukan Olimpik bagi acara yang masih dipertandingkan.
Sementara itu menurutnya, SUKMA turut mampu menarik minat masyarakat untuk meminati sukan.
Terdahulu beliau melancarkan Pusat Penyiaran SUKMA 2024 TVS di Stadium Sarawak.
Daripada 21 sukan yang disiarkan secara langsung, 15 daripadanya akan disiarkan menerusi TVS linear, secara digital di tvsarawak.my dan dua saluran You Tube serta platfrom media sosial lain.
Tayangan ulangan dan acara yang dirakam akan disiarkan sepanjang masa di TVS linear bagi memastikan penonton tidak terlepas untuk mengikuti perkembangan temasya dwitahunan itu.
Pendekatan inovatif penyiaran tersebut menetapkan standard baharu untuk sukan berbilang acara di rantau ini.
Ia juga adalah bukti dedikasi Sarawak untuk melepasi sempadan dalam penyiaran sukan sambil terus berpegang kepada komitmennya terhadap kelestarian. – TVS