BANGGA dan gembira apabila melihat orang ramai bergambar tepi maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang diciptanya.
Itu kata-kata Ikhbar Ruzaini Abang, pencipta maskot SUKMA Sarawak 2024 yang kebetulan terserempak dengan penulis di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching, lokasi menempatkan logo dan maskot SUKMA.

“Saya cipta maskot SUKMA ni bang,” ujarnya kepada penulis yang ketika itu sedang mengambil gambar maskot.
Orang ramai yang bersiar-siar di Dataran yang terletak berhampiran dengan Stadium Sarawak dan Pusat Akuatik Pandelela pada petang Sabtu (10 Ogos) tidak putus-putus bergilir-gilir bergambar di logo dan maskot SUKMA.
Maskot yang diberi nama Satria dan Satrina adalah ilustrasi burung kenyalang yang menjadi simbol Sarawak.
“Saya anggap hasil ciptaan ini sebagai sumbangan kepada Sarawak terutama SUKMA Sarawak 2024,” jelasnya.
Sempena SUKMA Sarawak 2024, Ikhbar merangkul hadiah wang tunai RM10,000 apabila memenangi pertandingan mencipta maskot SUKMA Sarawak 2024.
Bertemakan ‘Semangat Perpaduan Membara’, SUKMA Sarawak 2024 akan berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos dengan lebih 400 acara dipertandingkan.
Temasya SUKMA ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan, membabitkan sembilan bahagian di Sarawak dijadikan venue penganjuran.
Diadakan di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri ia menyaksikan lebih 10,000 atlet dan pegawai dari setiap negeri dalam Malaysia dan kontinjen jemputan dari Brunei.