SRI AMAN, 10 Ogos: Anak tempatan khususnya di Sri Aman boleh merebut peluang belajar di Sarawak Skills untuk meningkatkan kemahiran diri.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis mencadangkan supaya program jangkauan komuniti dikembangkan ke daerah lain seperti Lingga dan Lubok Antu bagi menarik minat anak tempatan.
Menurutnya, program seperti itu mampu memberi pendedahan kepada bidang kemahiran dalam kalangan masyarakat supaya lebih berdaya saing.
“Kali ini kita adakan program ini untuk Ulu Undup Batu Lintang, jadi saya cadangkan kita anjurkan sekali lagi termasuk Undup bawah dan pekan yang ada di Simanggang.
“Ia untuk membolehkan kita berkongsi maklumat dengan penduduk kita lebih-lebih lagi anak-anak kita di Sri Aman,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Penutupan Community Outreach Program Sarawak Skills di Dewan Datuk Francis Harden SK Nanga Klassen Sri Aman pada Sabtu.
Tambahnya, pengambilan Kursus Pemasangan dan Pengelenggaraan Elektrik Satu Fasa Tahap 2 dan Kursus Penyeliaan dan Operasi Penanaman Kelapa Sawit Tahap 3 akan dibuka pada bulan Oktober 2024. -TVS