SRI AMAN, 10 Ogos: Seramai 82 peserta program jangkauan komuniti anjuran Sarawak Skills selama dua hari di bawah geran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).
Program kursus jangka pendek kali ini bertujuan memberi peluang latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada komuniti di kawasan terpilih, memperoleh kemahiran baharu dan menambah baik kemahiran sedia ada.
Menurut Ketua Pegawai Strategi Sarawak Skills, Mohammad Isham Fauzi, penganjuran program kali ini melibatkan penduduk kawasan Batu Lintang dan Sri Aman seperti pekebun, pesara, suri rumah, ibu tunggal dan lepasan sekolah.
“Secara keseluruhan seramai 82 peserta menyertai empat jenis kursus jangka pendek.
“Antara kursus yang dianjurakan merangkumi Kursus Asas Penanaman Secara Nutrient Film Technique (NFT) Hidroponik, Kursus Asas Pembuatan Roti dan Pastri, Kursus Asas Pendawaian Elektrik dan Kursus Pembuatan Barang Kemas (Seramik),” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Penutupan “Community Outreach Programme” di Dewan Datuk Francis Harden di Sri Aman pada Sabtu.
Sarawak Skills bergiat aktif dan komited untuk memberikan kursus terbaik bukan sahaja kepada pelajar malah komuniti di seluruh Sarawak.
Program sebegini adalah salah satu inisiatif bagi membantu masyarakat menambah kemahiran sedia ada bagi mengubah landskap kehidupan ke arah peningkatan produktiviti dan kewangan keluarga. -TVS