KOTA SAMARAHAN, 10 Ogos: Penganjuran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) bersempena sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia pada Ogos dan September ini dilihat mampu meningkatkan semangat patriotisme rakyat di Sarawak.
KMJG tahun ini menyaksikan 22 destinasi hentian yang mana pelbagai aktiviti melibatkan komuniti setempat sebagai usaha Jabatan Penerangan Negeri Sarawak meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Pada setiap persinggahan kembara, kita akan mengadakan pelbagai aktiviti di setiap daerah. Pada masa sama aktiviti sajak atau kemasyarakatan dan hiburan untuk meningkatkan semangat patriotisme.
“Ini adalah salah satu agenda Jabatan Penerangan dalam meningkatkan semangat patriotisme rakyat melalui program seperti ini,” katanya.
Teks ucapan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Helmy Hamid dibacakan oleh Ketua Konvoi KMJG, Siti Fairuz Ngatenan di perkarangan Surau Baiturrahman, Kampung Tanjung Bundong, Samarahan pada Sabtu.
Antara yang hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Buang, Residen Bahagian Samarahan, Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak
Kembara tahun ini terbahagi kepada tiga fasa yang mana fasa pertama bermula pada 3 Ogos lalu dan melalui beberapa kawasan antaranya Bau, Lundu, Samarahan sebeum ke Serian pada petang ini
Fasa kedua pula akan bermula pada 25 hingga 31 Ogos dari Limbang hingga ke Sibu yang mana sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak akan diadakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Sementara itu fasa ketiga pada 10 hingga 16 September bermula dari Kapit hingga ke Sri Aman dengan Sri Aman dipiliha sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak. – TVS