IPOH, 10 Ogos: Seorang petugas Penjara Tapah di sini menjumpai sebuah dron dipercayai digunakan bagi mengirimkan dadah dari luar ke dalam penjara semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang merupakan sarjan penjara kira-kira pukul 5 petang berhubung kejadian itu.
Katanya, dron berwarna putih berkenaan didakwa dijumpai di atas bumbung sebuah blok semasa pengadu membuat rondaan bersama anggota penjara kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Terdapat satu beg dobi yang digantung pada dron itu dan di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar.
“Di dalamnya terdapat tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 122 gram (g) dan dua paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 12.9 g,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Azizi, siasatan awal mendapati cara itu merupakan modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron.
“Ini merupakan kes yang pertama diterima (oleh polis Perak).
“Justeru, kita memandang serius kes membabitkan penyeludupan dadah ini dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS