MIRI, 10 Ogos: Pelajar digalakkan mengambil subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu memberi sumbangan dalam kemajuan dan pembangunan masa depan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini kerana Kerajaan Sarawak memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran dan berilmu tinggi dalam pelbagai bidang terutamanya untuk ekonomi digital.
“Kita memerlukan banyak tenaga-tenaga kerja berkemahiran dan berilmu tinggi, selain pakar-pakar dalam bidang baharu. Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Sarawak menumpukan ke atas pembangunan ekonomi digital. Apabila disebut pembangunan ekonomi digital, itu berkaitan dengan pelajaran digital dan komputer. Sekarang kita hidup dalam zaman digital,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pesta Pulasan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut, Miri pada Sabtu.
Hal ini juga selaras dengan sasaran Kerajaan Sarawak yang menyasarkan kadar pendaftaran pelajar dalam STEM sebanyak 60 peratus bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai bidang.
Beliau menggalakkan para pelajar untuk mengambil peluang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui dasar pendidikan percuma yang akan dilaksanakan pada tahun 2026 di beberapa universiti yang terpilih.
Kim Shin turut mengingatkan guru dan ibu bapa untuk memberi galakan kepada pelajar mengambil subjek pendidikan STEM sebagai karier masa depan untuk memenuhi permintaan dan keperluan pelbagai sektor dan industri.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 22 pelajar yang menerima insentif atas keputusan cemerlang mereka dalam subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Kim Shin juga memberi sumbangan sebanyak RM95,000 kepada SMK Pujut untuk pembangunan fasiliti dan pelaksanaan aktiviti sekolah. -TVS