KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita Wilayah Persekutuan (WiPers) mengintai peluang untuk meraih emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Pengurus Pasukan Abdul Rashid Adlie berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai dengan penguatan skuad melalui kehadiran enam pemain skuad kebangsaan bawah-20 dan 18 tahun.
“Edisi lepas kita dapat nombor enam, tetapi waktu itu banyak pemain-pemain kita yang sakit. Tetapi kali ini berbeza dan kita sudah membuat persiapan yang rapi untuk elakkan perkara sama berlaku.
“Saya yakin dengan pasukan ini kerana kami ada enam pemain kebangsaan dan saya rasa pasukan ini boleh pergi jauh,” katanya kepada Bernama.
Pada edisi kali ini, skuad ragbi wanita WiPers diletakkan dalam kumpulan maut bersama-sama naib juara edisi lalu, Selangor, pemenang pingat gangsa, Sabah, dan Terengganu.
Abdul Rashid berkata ketika ini, pasukannya sedang melakukan persiapan akhir di Limbang dan Miri menjelang acara tersebut dijadual bermula 19 hingga 22 Ogos di Stadium Miri.
SUKMA Sarawak 2024 akan membuka tirainya pada 17 dan berakhir 24 Ogos ini.-TVS