MIRI, 9 Ogos: Kerajaan Sarawak memberi jaminan tahap keselamatan di semua venue dan perkampungan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 berada pada tahap memuaskan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu berkata, jawatankuasa khas mengenai keselamatan telah ditubuhkan di bawah seliaan Pejabat Residen Bahagian Miri.
“Hari Isnin nanti saya akan bermesyuarat dengan semua Residen di bahagian-bahagian yang terlibat untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka. Saya juga ingin memastikan keselamatan bukan sahaja untuk atlet kita dari Sarawak tetapi juga dengan atlet yang datang dari luar.
“Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata telah memberikan komitmen, banyak anggota polis akan ditempatkan di venue-venue ini,” katanya kepada media selepas melawat venua SUKMA bahagian Miri di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, peratusan persediaan Sarawak kini adalah 99.9 peratus dan beliau berpuas hati dengan perkara tersebut.
“Kita menjangka semua akan berjalan lancar sampai masa pertandingan nanti,” ujarnya lagi.
Antara venue sukan yang beliau lawati adalah Stadium Miri, Stadium Perpaduan Miri, IKBN Miri, Eastwood Valley Golf & Country Club, dan Marina Bay.
Miri menjadi tuan rumah kepada enam acara untuk SUKMA pada kali ini iaitu sukan pelayaran, ragbi (lelaki dan wanita), lawan pedang, karate, sofbol (lelaki dan wanita) dan pencak silat. – TVS