Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada rombongan Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato' Mohd Muazzam Mohamed di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Foto Alex Teo (TVS)

Perkasa agenda pembangunan usahawan seluruh negara

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 Ogos: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyalurkan lebih RM25 juta pembiayaan iTEKAD setakat ini bagi memperkasa agenda pembangunan usahawan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed berkata ia melibatkan lebih daripada 1,200 peserta keusahawanan termasuk 40 peserta dari Sarawak.

“Kami menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Islam Sarawak (MIS) berkaitan pengembangan program pembiayaan mikro iTEKAD Bank Islam.

“Program iTEKAD ini sebenarnya telah kami adakan di negeri lain dan di Sarawak tetapi MoU ini akan mengembangkan lagi, maknanya jumlah penyertaan, sektor perniagaan dan usahawan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Beliau menambah program berkenaan yang berbentuk sumbangan dan pembiayaan kepada peniaga mikro bermatlamat menaik taraf pendapatan golongan berpendapatan rendah, asnaf dan B40 melalui kaedah keusahawanan serta perniagaan.

Menurutnya, pada masa sama potensi golongan tersebut dapat ditingkatkan sekali gus menambah baik kedudukan kewangan mereka.

“Kami juga memilih untuk membina satu hab latihan perniagaan kepada peserta iTEKAD mikro di Sarawak dan ia akan dibantu oleh jurulatih perniagaan yang akan kami lantik.

“Jadi, besarlah harapan saya perniagaan yang Bank Islam bina selama puluhan tahun mendapat sambutan daripada rakyat Sarawak selain kami dapat membantu mengembangkan ekonomi.

“Apa juga keuntungan pendapatan yang kami jana itu dapat disumbangkan kembali kepada asnaf dan B40. Melalui program ini juga kita dapat membantu menaik taraf kehidupan terutama golongan berpendapatan rendah melalui keusahawanan,” jelasnya.

Bank Islam hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM760,000 kepada MIS yang merupakan hasil pendapatan daripada perniagaan sepanjang 2023.

Jelasnya, ia merupakan satu kesinambungan yang mana pada setiap tahun, Bank Islam akan menjana pendapatan daripada perniagaan kemudian membayar zakat sepanjang tahun di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan