KUCHING, 9 Ogos: Bagi memeriahkan lagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sekretariat SUKMA dengan kerjasama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Videografi SUKMA Sarawak 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pertandingan bermula 12 hingga 24 Ogos 2024 dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,250.

“Terdapat tiga kategori untuk disertai iaitu, fotografi terbuka, fotografi belia dan videografi,”katanya pada sidang media sempena Majlis Pengaktifan Command Centre SUKMA 2024 di sini, hari ini.
Untuk kategori fotografi terbuka, pemenang akan menerima wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000, ketiga RM1,000 dan lima hadiah sagu hati RM200 setiap seorang.
Bagi pemenang kategori belia, johan akan menerima RM2,000, tempat kedua RM1,000, ketiga RM750 dan lima hadiah saguhati bernilai RM100 setiap seorang.
Kategori belia terbuka kepada pelajar sekolah, kolej dan universiti dalam Malaysia.
Pemenang kategori videografi, johan akan menerima RM2,000, tempat kedua RM1,000, ketiga RM750 dan lima hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap seorang.
“Bagi menghargai peranan media yang bertugas sepanjang SUKMA, kita turut mengadakan pertandingan ‘Picture & Article Of the Day’,” katanya.
Pertandingan ini akan diadakan bermula 16 Ogos hingga 25 Ogos. Gambar dan artikel terbaik berpeluang untuk memenangi RM100 setiap hari.
Ia terbuka kepada semua organisasi media cetak dan dalam talian di Malaysia.
“Gambar dan artikel terbaik ini akan dipaparkan di ruangan khas di Bilik Media Utama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong yang akan kita lancarkan esok (Sabtu),” katanya.
Terma dan syarat pertandingan boleh didapati dengan mengimbas QR Kod dalam infografik yang boleh didapati di laman sesawang rasmi SUKMA XXI Sarawak 2024 di www.sukmasarawak2024.my atau di Facebook rasmi UKAS. – TVS