MIRI, 6 Ogos: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM19,000 di Jalan Bintulu – Miri, dekat sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, anggotanya menahan sebuah sebuah lori tangki kira – kira pukul 12.30 tengah hari semalam.
Jelas beliau, pemeriksaan mendapati lori itu membawa muatan sekitar 5,000 liter minyak diesel bersubsidi.
“Ketika ditanya, pemandu lori mengaku membawa minyak diesel tanpa memiliki dokumen sah.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati pemandu lori tersebut gagal mengemukan sebarang bukti berdokumen mengenai minyak diesel tersebut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM114,000.
Barang rampasan dan tangkapan jelasnya diserah kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN) Miri untuk tindakan selanjutnya. -TVS