MIRI, 6 Ogos: PETRONAS memulakan sambutan ke-50 tahun di Sarawak dengan ketibaan ‘PETRONAS Homecoming Torch’ di bandaraya Miri pada 27 Julai lalu.
Obor itu yang merupakan salah satu dalam jelajah ke seluruh negara menerusi tema ‘The Journey Of The Twin Torches’, tema yang memberi penghormatan kepada tempat dan acara yang meraikan kekayaan sejarah, pencapaian dan sumbangan pelbagai lokasi dalam ekosistem PETRONAS.
Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Sarawak Aset) (SKA), Noriani @ Yati Mohamad menyifatkan jelajah Homecoming Torch itu menandakan satu peristiwa penting dalam legasi 50 tahun syarikat minyak dan gas multinasional tersebut.
“Ia juga mewakili peralihan syarikat daripada perintis kepada inovator, menekankan pertumbuhan dan kecemerlangan berterusan. Ia bertujuan untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada generasi peneraju PETRONAS di masa akan datang untuk meneruskan legasi dan membentuk masa depan syarikat tenaga itu.
“Selain itu, ia juga meraikan sejarah PETRONAS, pencapaian luar biasa, dan sumbangan penting bukan sahaja dalam ekosistem PETRONAS tetapi juga dalam komuniti kita. Ia adalah simbol kebanggaan, kepunyaan, dan maksud haluan yang dikongsi dalam kalangan pekerja, pihak berkepentingan dan komuniti di kawasan operasi kami,” katanya.
Beliau berkata, PETRONAS telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang dekad, termasuk penubuhan syarikat itu pada 1974 dan mengambil alih dalam mengendalikan Terminal Minyak Mentah Miri pada 1988.
“Pencapaian ini menandakan permulaan perjalanan kami dalam penyelesaian perintis merentasi rantaian nilai minyak dan gas. PETRONAS akan terus menjadi rakan strategik kepada Sarawak untuk mengekalkan iklim pelaburan yang berkembang maju dan kondusif di Malaysia,” katanya.
Sempena ketibaan PETRONAS Homecoming Torch, SKA mengadakan ‘Road to PETRONAS 50 – PETRONAS Amazing Race’ di Miri.
Program yang disertai 25 pasukan termasuk agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan itu berjaya meningkatkan jaringan dan kerjasama antara PETRONAS dan pihak berkepentingan di Miri. – TVS