IPOH, 6 Ogos: Polis memberkas seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di rumah pengasuh di Kampung Sungai Pulau, Sungai Sumun, Bagan Datuk dekat sini hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek ditahan di rumahnya kira-kira pukul 5 petang selepas ibu mangsa berusia 39 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Suspek yang ditahan bagi siasatan lanjut merupakan suami kepada bekas pengasuh kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – TVS