KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Pelan Tindakan Untuk Ekonomi Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) yang menyediakan hala tuju jelas untuk memajukan sektor berkenaan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata, pelan itu antara lain akan membantu usaha mempercepatkan peralihan menerusi lima teras iaitu tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, pendigitalan dan teknologi, infrastruktur dan kemudahan serta penciptaan pasaran.
Jelas beliau kerajaan menerusi KPKT juga akan memastikan penglibatan menyeluruh termasuk penggubalan undang-undang berkaitan yang merangkumi pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang penting untuk pengurusan sisa pepejal yang mampan.
“Pelan ini juga bertujuan untuk memperkenalkan Sijil Sisa ke Tapak Pelupusan dalam pengurusan sisa pepejal yang mengiktiraf pengilang yang berjaya meningkatkan kecekapan sumber mereka dan meminimumkan penjanaan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.
Pada majlis sama turut dilancarkan ialah Persidangan Pekeliling Ekonomi 2024: Membina Masa Depan Mampan yang menghimpunkan 400 pihak berkepentingan terdiri daripada agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk berkongsi pengetahuan dan perspektif mereka memaju ekonomi kitaran.
Sementara Kor Ming memaklumkan industri mencadangkan penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) untuk menjadi platform menyelaras, merancang dan memacu inisiatif ekonomi berkenaan secara lebih komprehensif di Malaysia.
“(Sekiranya ditubuhkan) ia akan bekerjasama rapat dan memainkan peranan penting dalam memajukan industri kitar semula dan industri berasaskan sisa pepejal negara.
“Rakyat Malaysia juga dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ekonomi pekeliling yang digariskan dalam pelan tindakan, yang berpotensi mengembangkan sektor perkhidmatan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media beliau memaklumkan kerajaan menyasarkan untuk mencapai Kadar Kitar Semula Kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025.
Tambah beliau, kadar Kitar Semula Kebangsaan juga meningkat lebih dua kali ganda iaitu mencecah 35.38 peratus tahun lalu berbanding 15.7 peratus pada 2015. -TVS.