BINTULU, 6 Ogos: Status perlaksanaan 14 projek membabitkan kos RM1.124 bilion di bawah Kerajaan Sarawak setakat ini berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Jelas beliau, bagi memastikan projek segera dilaksanakan, Kerajaan Sarawak menetapkan peraturan khusus yang dipanggil one month rule.
“JKR sasar sifar projek sakit (oleh itu) one month rule ini bermakna kalau kita serahkan projek pada 1 Oktober, dalam tempoh sebulan mereka (kontraktor) sudah mula melaksanakannya.
“Jika tidak, kita akan mengambil tindakan memberhentikan khidmat kontraktor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Pemantauan Projek bersama JKR Bahagian Bintulu dan wakil rakyat kawasan terlibat di sini hari ini.
Sementara itu Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memaklumkan antara isu yang dibincangkan hari ini ialah berkaitan banyak jambatan di Murum dan Kakus yang didapati dalam keadaan tidak baik.
“(Sehubungan itu kerja) penyelenggaraan harus segera dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan JKR Bintulu telah mengenal pasti 19 jambatan yang perlu dibaiki.
“JKR akan bekerjasama dengan kementerian bagi mengatasi masalah ini kerana kita mahu kemudahan pengangkutan khususnya di luar bandar dapat dipertingkatkan supaya rakyat dapat merasai manfaatnya,” katanya. -TVS.