KUCHING, 4 Ogos: Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi menjadi satu inspirasi dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan wadah untuk menanam rasa cinta terhadap negeri dan negara.
“Upacara menaikkan bendera ini melibatkan masyarakat setempat termasuklah ketua masyarakat dan seluruh warga kota Kuching, jadi ini merupakan langkah permulaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi di Kuching pada Ahad.
Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi diadakan pada hari Ahad pertama setiap bulan di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Bendera Ibu Pertiwi sepanjang 25 meter dan selebar 12.5 meter adalah antara mercu tanda utama Kuching kerana tiang benderanya setinggi 99 meter merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman. -TVS