Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kontinjen Perak akan memberikan tumpuan terhadap acara sukan tempur bagi merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 35 pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak.

Perak beri tumpuan terhadap sukan tempur

ByTVS

IPOH, 4 Ogos: Kontinjen Perak akan memberikan tumpuan terhadap acara sukan tempur bagi merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 35 pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam usaha itu, harapan tinggi diletakkan terutamanya bagi sukan judo, silat, kabaddi, silambam, muay thai, kriket dan hoki tanpa menafikan kemampuan atlet sukan-sukan lain.

Menurutnya, menerusi slogan ‘Silver to Gold’, kehadiran atlet ke temasya Sukma bukan sekadar ingin meningkatkan pencapaian tetapi berhasrat untuk memperoleh lebih banyak pingat emas.

“Kita menyasarkan kutipan 35 pingat emas dan kedudukan lima terbaik pada penganjuran Sukma kali ini. Adakah ia mustahil? Tidak! Adakah ia mencabar? Sudah pasti! Tetapi ingatlah, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki oleh mereka yang bermimpikan puncak.

“Walaupun kita hanya menduduki tangga kelapan dalam edisi Sukma lalu, itu bukanlah penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah permulaan untuk kita melakukan yang terbaik pada Sukma kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak Belang Tarung Tiga Warna Kontinjen Sukma Negeri Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Ketua Kontinjen Sukma Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa tetamu kehormat yang lain.

Sementara itu, Saarani turut mengumumkan insentif kemenangan sebanyak RM5,000 bagi pemenang pingat emas diikuti RM3,000 pingat Perak dan RM1,000 untuk pingat gangsa.

Menurutnya, bagi kategori berpasukan, RM2,500 disediakan untuk pingat emas, RM1,500 untuk perak dan RM500 untuk gangsa manakala jurulatih dan pengurus juga akan menerima insentif berdasarkan pencapaian atlet di bawah didikan mereka.

Dalam sidang medianya, Saarani memaklumkan seramai 777 atlet Perak terpilih untuk menggalas tanggungjawab membawa harapan negeri bagi membawa pulang pingat yang disasarkan.

“Kepada para atlet, ingatlah bahawa kejayaan bukan hanya diukur dengan pingat. Ia juga diukur dengan semangat juang, integriti, dan keberanian untuk bangkit selepas jatuh. Tunjukkanlah kepada Malaysia kehebatan sebenar Perak.

“Mereka ada tanggungjawab mewakili sekurang-kurangnya 2.5 juta rakyat Perak. Jadi apa pun keadaannya mereka mesti pergi dengan niat untuk menang,” katanya.

Pada majlis tersebut turut diperkenalkan pakaian rasmi kontinjen Sukma Perak 2024 selain penyerahan bendera.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan