KUCHING, 3 Ogos: Petronas BeDigital Bootcamp yang kini sedang berlangsung di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak merupakan program kelapan sejak diperkenalkan pada Mac 2022.
BeDigital Bootcamp kali ini melibatkan 99 peserta dari pelbagai universiti tempatan merangkumi Universiti Curtin Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Salah seorang peserta dari Universiti Curtin Malaysia, Foo Fang Long yang ditemui hari ini berkata, program tersebut dapat melengkapkan dirinya dengan pengetahuan meluas mengenai industri pendigitalan.
“Sudah tentu program ini banyak membantu memberi pendedahan dan melengkapkan saya menghadapi industri pendigitalan apabila memasuki dunia pekerjaan kelak,” katanya.
Selain itu tambahnya, program tersebut juga sedikit sebanyak membantu membina tahap keyakinan dalam dirinya bagi berhadapan dengan pelbagai pihak.
Manakala bagi Nur Ayu Farinna peserta dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) program tersebut dapat membantu meningkatkan tahap profesional dalam dirinya untuk bersaing dengan ribuan bakal graduan lain.
“Menerusi program sebegini, kami dapat belajar cara untuk menangani pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meningkat kerana banyak industri yang melibatkan perdagangan digital dan bagaimana untuk memasarkan lebih banyak vitae curriculum supaya lebih menyerlah daripada ribuan graduan lain, ” katanya.
Bagi Emmanuel Ronan Charles yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sains Sosial di UNIMAS berkata, pendedahan dan pengalaman daripada program ini akan dikongsi bersama-sama dengan komuniti lain untuk menghasilkan kandungan digital berkesan.
“Setakat ini, ia merupakan pengalaman yang hebat dan banyak membantu saya dari segi kandungan digital terutamanya dalam keselamatan siber dan sains delta. Bagi saya yang berlatar belakangkan pengurusan pembangunan, saya dapat mengetahui lebih banyak lagi mengenai dunia digital dan akan menerapkan kemahiran digital dalam pengalaman dan pengetahuan saya, ” jelasnya.
Petronas Bedigital Bootcamp merupakan usaha yang dilakukan PETRONAS dalam memastikan bakal graduan mendapat pendedahan awal terhadap industri pendigitalan seiring dengan perkembangan teknologi yang ada pada hari ini yang mencapai pelbagai inovasi baharu.-TVS