MIRI, 3 Ogos: Bilangan guru yang mengajar subjek bahasa Iban di bandar dan luar bandar perlu diselaraskan mengikut keperluan semasa.
Menteri Di Jabatan Premier Dato Sri John Sikie Tayai berkata setakat ini bilangan guru yang mengajar bahasa Iban di peringkat sekolah masih tidak mencukupi.
“Memang kita nak bahasa Iban diteruskan. Sebab di maktab, institut perguruan dan universiti ada mengajar guru yang akan mengajar bahasa Iban nanti.
“Pada masa sekarang, hanya 305 guru yang layak dan bertauliah mengajar bahasa Iban di seluruh Sarawak dan itu tidak mencukupi.
“Jadi kita nak lebih ramai lagi keturunan Iban mengambil subjek elektif bahasa Iban untuk diajar di sekolah,” katanya.
Beliau ditemui media ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis Penutupan Simposium Jaku Iban Dan Pengelandik Jari Tikas Sarawak 2024 di sebuah hotel pada Sabtu.
Katanya, purata bagi kemasukan seorang guru yang mengambil subjek bahasa Iban di Institut Pengajian Guru (IPG) adalah sekitar 15 sehingga 20 orang dan ia masih tidak mencukupi.
John Sikie turut menggalakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memohon dari Jabatan Pendidikan Daerah atau Negeri supaya subjek bahasa Iban diajar di sekolah sekiranya terdapat sekurang-kurangnya 15 pelajar Iban di dalam kelas.
Dalam pada itu, Resolusi Jaku Iban dan Resolusi Pengelandik Jari juga dibawa untuk dihantar kepada kerajaan supaya dapat diluluskan pada masa akan datang.
Antara perkara di bawah resolusi tersebut termasuk meningkatkan pengambilan program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Iban di IPGMK kepada 100 pelajar setiap ambilan dan menubuhkan Unit Bahasa Lain (UNIFOL) di Sarawak.
Selain itu, memberi gelaran Datuk kepada mereka yang mendapat pengiktirafan dari peringkat antarabangsa atau UNESCO dan menubuhkan pusat kraftangan di semua daerah di Sarawak untuk mengumpul dan menjual hasil kraf. -TVS