SIBU, 3 Ogos: Lima Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Bahagian Sibu mendapat geran bantuan kewangan kerajaan melalui Kementeri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjumlah RM1.18 juta secara keseluruhan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penerima tersebut melibatkan PPDK Murni Dudong Sibu, PPDK Nur Qaseh Nangka Sibu, PPDK Sibu, PPDK Permai, dan PPDK Muhibbah Bawan Kanowit.
“Saya berharap lebih ramai pihak datang memberi bantuan dan kita sedaya upaya memberi bantuan seperti mana dipohon Indipendent Living Centre (ILC) dan PPDK Permai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Perkhidmatan OKU dan Perasmian PPDK Permai di Independent Living Centre (ILC) Sibu pada Sabtu.
Tambahnya, PPDK Permai adalah sebuah pusat baharu yang teletak di ILC Sibu yang memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk berkembang.
“Mereka memerlukan lebih ramai pihak yang mahu membantu dari segi fizikal dengan sukarela dan pada masa sama memerlukan sumber kewangan untuk mengembangkan atau membangunkan PPDK supaya dapat menjalankan lebih banyak aktiviti,
“Kita akan cuba membantu dan melihat bantuan yang mereka perlukan terutama dari segi fasiliti dan peralatan untuk menjalankan latihan serta fisioterapi,” ujarnya.
PPDK Permai ditubuhkan pada 1 Jun 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Mac 2024 dengan menempatkan seramai 13 pelatih berusia antara empat hingga 22 tahun.
Timbalan Pengarah JKM Sarawak Mohd Ali Taib, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Lim Lu Lu dan Penyelaras ILC Sibu, Liu Bee Sang turut hadir.-TVS