SIBU, 3 Ogos: Pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ahli keluarga atau waris kepada seorang pesakit lelaki yang disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sibu pada 27 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, laporan polis diterima daripada pegawai perubatan yang memaklumkan seorang pesakit lelaki berusia lingkungan 50 ke 60 tahun meninggal dunia.
“Si mati yang bekerja sebagai buruh binaan dikenali Sudin Mahoj dan memiliki tatu ular di lengan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, rakannya memberitahu si mati pengsan di tempat kerja dan terus menghantarnya ke hospital untuk mendapat rawatan namun disahkan meninggal dunia.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk menyalurkan maklumat bagi mengesan waris si mati atau berhubung terus dengan Inspektor Rodua Ayo di talian 0138420588 atau Balai Polis Sibujaya di talion 084-236343.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – TVS