Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penyerahan bendera Ibu Pertiwi kepada Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto Hafeezur Muzamir (TVS)

Perdana Menteri akan hadir Upacara Penutupan SUKMA 2024

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 3 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan menghadiri Upacara Penutupan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak di sini, pada 24 Ogos nanti.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu disampaikan Anwar semalam dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

“Semalam saya ada bercakap dengan Perdana Menteri, beliau maklumkan akan hadir ke Sarawak pada upacara penutupan SUKMA.

“Sebenarnya beliau sepatutnya hadir dalam satu acara bertaraf antarabangsa di ibu negara, tetapi beliau kemudiannya memilih untuk datang ke Sarawak, kita amat berterima kasih. Hal ini kerana beliau berkehendakkan Malaysia menyerlah dalam sukan sebagai persediaan menjelang penganjuran Sukan Sea pada 2027 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan bendera Ibu Pertiwi kepada Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak di sebuah hotel di Kuching, hari ini

Yang turut hadir, Timbalan- timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Rentap Jabu dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Mengulas mengenai penyertaan Sarawak dalam SUKMA edisi kali ini, Abang Johari berkata, atlet dari negeri ini diminta untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan sasaran untuk bergelar juara keseluruhan dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, SUKMA 2024 merupakan platform terbaik kepada atlet Sarawak untuk merebut peluang mewakili negara dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 dengan negeri ini bakal menjadi penganjur bersama.

“Kerajaan Sarawak sediakan RM350 juta untuk menjadi penganjur bersama dalam Sukan SEA 2027, saya mahu melihat anak Sarawak beraksi dalam temasya itu supaya mengangkat imej kita sebagai atlet bertaraf antarabangsa dan bukannya sekadar jaguh kampung,” katanya.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Untuk rekod, SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan