BINTANGOR, 3 Ogos: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Sungai Julau, hari ini.
Dalam insiden kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa Muhamad Ikram Imran, 26, dilaporkan memancing bersama-sama dua lagi rakannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, mangsa bersama-sama dua orang rakannya menggunakan bot sebelum dilaporkan terjatuh.
“Bomba difahamkan, mangsa dipercayai jatuh ke dalam sungai ketika sedang berusaha melepaskan pancing yang tersangkut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nicholas, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.45 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi pencarian.
Ketika ini katanya, anggota bomba bersama agensi lain berusaha mencari mangsa di sekitar tebing sungai iaitu lokasinya kali terakhir dilihat oleh rakan mangsa.
“Operasi yang tuerut dibantui polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kini sedang giat dilakukan dan setakat ini, kita belum menemui keberadaan mangsa,” jelasnya. -TVS