KUCHING, 3 Ogos: Bagi memperkasa transformasi digital terutama meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) mengadakan lawatan ke Korea SMEs and Startups Agency (KOSME) di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Menerusi kenyataan media hari ini, lawatan yang diketuai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Dr Malcolm Mussem Lamoh itu bertujuan menjalinkan kerjasama dengan KOSME untuk merangka inisiatif memperkasa PKS dalam menyokong transformasi digital sejajar Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.
“Penubuhan KOSME adalah untuk memupuk perusahaan inovatif, mengukuhkan daya saing global PKS Korea Selatan bagi pengembangan dan kepelbagaian eksport serta merintis ekosistem permulaan sejajar dengan IR4.0 dan transformasi digital.
“KOSME memulakan program dikenali Youth Startup Academy bertujuan menyediakan persekitaran sokongan komprehensif untuk usahawan muda, memperkasakan mereka dalam mengubah idea inovatif menjadi perniagaan berjaya dan mampan,” menurut kenyataan itu.
KOSME adalah Organisasi Bukan Keuntungan (NPO) yang dibiayai Kerajaan Korea Selatan yang ditubuhkan untuk melaksanakan dasar dan program kerajaan dalam pertumbuhan dan pembangunan PKS.
KOSME turut mengendalikan program kewangan dan bukan kewangan untuk PKS dan melalui program kewangan, KOSME menyediakan pembiayaan untuk PKS dalam mengembangkan operasi, membangunkan produk baharu dan menukar struktur perniagaan PKS. – TVS