KUCHING, 3 Ogos: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Yayasan ROSE melancarkan program kerjasama Leaving No One Behind HPV Screening yang bertujuan menghapuskan kanser serviks dalam kalangan wanita berumur 30 hingga 65 tahun di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak menjadi wilayah pertama di Malaysia yang bertekad menghapuskan kanser serviks sejajar dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, ia bertujuan mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan rakyat Sarawak bagi memerangi risiko kanser serviks iaitu kanser ketiga paling tinggi di Malaysia.
“Menjelang tahun 2030, kita tidak mahu melihat apa-apa kanser serviks di Sarawak.
“Kita berazam untuk melakukan itu kerana ia adalah untuk kebaikan seseorang ibu, nenek, kakak dan mak cik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Pelancaran Liam-Rose Foundation Collaboration Leaving No One Behind HPV Screening Program di Hotel Pullman Kuching pada Sabtu.
Sarawak merekodkan data kanser serviks dengan kadar 12.1 bagi setiap 100,000 penduduk yang telah melebihi kadar kebangsaan iaitu 10.2 bagi setiap 100,000 seperti anggara WHO. -TVS