KUCHING, 3 Ogos: Seramai tujuh penunggang berbasikal kira-kira 902 kilometer (KM) dari Miri ke Kuching bermula Ahad lalu untuk mengumpul dana bagi Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks atau Removing Obstacles to Cervical Screening (ROSE).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif berbasikal sambil beramal tersebut penting untuk membantu pesakit kanser serviks atau pangkal rahim.
Menurutnya, ia sebagai satu bentuk sokongan moral dan pada masa sama membuktikan rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang prihatin.
“Kita perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam apa jua yang kita lakukan untuk kebaikan serta manfaat komuniti, kerana keprihatinan ini merupakan sebahagian daripada intipati kita sebagai rakyat Malaysia.
“Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik untuk kita semua, kita perlu memainkan peranan, walaupun sekecil mana sumbangan kita. Marilah kita bersatu hati kerana inilah semangat sebenar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Sepeda Amal Borneo 2024 di Kuching pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Fadillah menyampaikan sumbangan berjumlah RM220,000 kepada program ROSE menerusi kutipan yang dijalankan dalam talian sepanjang program kayuhan amal tersebut. -TVS