KUCHING, 3 Ogos: Program BeDigital Bootcamp Sarawak anjuran Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merupakan platform pembangunan bakat anak muda di wilayah ini.
Menurut Pengurus Pemerolehan Bakat Schlumberger (SLB), Hanif Sheikh Ali, berpandukan matlamat sama, pihaknya menyertai program tersebut atas faktor ia menyediakan bakat perniagaan untuk masa hadapan.
“Pelajar di sini tidak hanya bersedia untuk perniagaan pada hari ini, malah hari esok dan seterusnya. Oleh itu, dengan matlamat sama, kami memutuskan pada tahun ini, kami harus menyertainya lagi.
“Kebanyakan pelajar datang dari kampus Malaysia Timur ini dilihat menepati kelayakan yang kami perlukan seperti jurutera lapangan dan jurutera perisian,” katanya ketika ditemubual TVS ketika Program BeDigital Bootcamp Kohort ke-8 di Universiti Swinburne Sarawak pada Sabtu.
Senada dengannya, Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran Inpex Malaysia yang pertama kali menyertai program BeDigital Bootcamp, Dr Roziah Kadar Husin berkata program tersebut bertepatan dengan kehendak syarikat itu.
“Dari pihak Sumber Manusia, kami mencari mereka yang memiliki kemahiran komunikasi baik, mampu menyelesaikan masalah dan ingin belajar benda baharu. Tentunya, kami juga memerlukan sasaran untuk pembangunan anak muda.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Petronas atas program hari ini dan dari apa yang kami lihat, sesi hari ini penuh dengan anak muda yang bertenaga dan menunjukkan minat kepada industri ini,” katanya
Untuk rekod, setakat Sabtu sebanyak 26 syarikat menyertai program tersebut. – TVS