KUCHING, 2 Ogos: Darul Hana Musical Fountain yang terletak bertentangan dengan Tebingan Kuching akan menayangkan promosi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 bermula malam esok.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan, tayangan tersebut akan diiringi dengan lagu tema ‘SUKMA Sarawak Kesukanan Dalam Perpaduan’ yang akan dimainkan bermula jam 8.25 malam untuk SUKMA XXI Sarawak 2024 dan jam 9.25 malam untuk Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
“Promosi ini adalah kerjasama antara Unit Komunikasi Awam Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara dan akan dimainkan sehingga 24 Ogos depan,” demikian laporan itu dipetik.
SUKMA XXI Sarawak 2024 yang tinggal hanya 15 hari lagi akan membuka tirainya bermula 17 hingga 24 Ogos 2024 di sembilan kluster meliputi Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Mukah, Sibu, Bintulu dan Miri.