KUALA TERENGGANU, 2 Ogos: Kapten Terengganu FC Safawi Rasid menganggap kemenangan 3-2 ke atas Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama bukan kelebihan kepada pasukan Pantai Timur tersebut.
Beliau berkata, separuh akhir kedua dianggap bermula dengan 0-0 dan ia menjadi motivasi kepada pasukan memperagakan aksi lebih baik.
Menurut pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, beliau terus bertekat memburu jaringan bagi memastikan impian untuk membawa pasukan negeri kelahirannya mara ke pentas final tercapai musim ini.
“Jika berpeluang, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menjaringkan gol namun ia bukan menjadi keutamaan saya kerana apa yang lebih penting pasukan berjaya melangkah ke perlawanan akhir.
“Pada masa sama saya mengharapkan rakan sepasukan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan biarpun beraksi di tempat lawan kerana hanya selangkah sahaja lagi untuk merealisasikan impian itu.
“Satu lagi jika aksi separuh akhir pertama stadium penuh dengan peminat setia TFC, aksi kedua nanti harap stadium MBPJ juga turut dibanjiri penyokong TFC sekali gus mampu menambah lagi semangat kami ketika beraksi,” katanya.
Kapten Terengganu FC (TFC) itu berkata demikian menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang skuad The Red Giants itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 19 Julai lalu, pemain Harimau Malaya itu meledak gol pembukaan pasukannya menerusi sepakan percuma menarik sekali gus menyuntik semangat rakan sepasukan untuk terus memburu jaringan.
Berdasarkan prestasi semasa, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dilihat berpeluang cerah untuk mara ke perlawanan akhir biarpun tanpa beberapa tonggak akibat kecederaan.-TVS