MIRI, 2 Ogos: Jerayawara Karnival Pendidikan dan Kerjaya ‘Project of Dreams Realized’ (Pro-DR) menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan belia di sini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menyifatkan program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu mempersiapkan diri mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi mahupun menyertai alam pekerjaan kelak.
“Program sebegini amat penting kerana objektifnya adalah untuk menyalur maklumat mengenai peluang pendidikan dan kerjaya yang relevan dan terkini kepada pelajar dan belia terutama di kawasan Miri.
“Ketersediaan para pelajar dan belia juga penting dalam menghadapi arus pembangunan zaman kini yang berpaksikan teknologi (or technology-centric),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit di Karnival Pendidikan dan Kerjaya Pro-DR anjuran TEGAS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dennis turut menyeru para belia di sini untuk memanfaatkan inisiatif dasar pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak menjelang 2026.
Beliau optimis inisiatif tersebut memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan di Sarawak. – TVS