KUCHING, 2 Ogos: Berbaki 15 hari sebelum Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak bermula, persiapan di semua venue sukan sedang rancak dijalankan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Stadium Sarawak yang merupakan venue utama upacara perasmian dipersiapkan untuk menyambut lebih 10,000 atlet dan pegawai.
Stadium Sarawak juga turut menjadi venue acara olahraga.
Bagi memastikan persiapan lancar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah  meninjau venue tersebut petang kelmarin.
Karim ditemani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CEO Sekretariat SUKMA XXI Datuk Hii Chang Kee, CEO Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Reduan dan CEO Majlis Seni Negeri Dayang Marina Abang Bolhassan.
Karim meluangkan masa kira-kira sejam untuk memeriksa kemudahan yang dinaik taraf di Stadium Sarawak.
Sementara itu, Sarawak sebagai tuan rumah akan terus memantau tahap keselamatan di semua venue di sembilan bahagian bagi mengekalkan imej SUKMA tahun ini.-TVS