KUCHING, 2 Ogos: Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD) perlu sentiasa berhubung dengan kerajaan dalam penganjuran sebarang aktiviti.
Kerjasama dengan kerajaan penting untuk memudahkan penyaluran bantuan dan dana.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong individu berkeperluan khas bagi memastikan setiap lapisan masyarakat diberi perhatian.
“Kerajaan sangat menyokong kerana apabila kita bercakap tentang keterangkuman sosial, ini bermakna kami akan memastikan anda semua diberi sokongan yang betul.
“Kita mahu keterangkuman sosial setiap rakyat Sarawak dapat kita beri perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas kunjungan hormat Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD)di Bangunan Baitulmakmur 2 di Kuching pada Jumaat.
Pada masa sama, Fatimah menyeru masyarakat di Sarawak memberi sokongan dengan menyertai Larian Senyap 4.0 Kuching yang bakal diadakan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MPKS) pada 24 November 2024 dengan sasaran 1,500 peserta.
Manakala Program Larian Senyap 4.0 Miri pula akan diadakan di Marina Parkcity Miri pada 8 September 2024 dengan 1,500 peserta.
Terdahulu, SSD berjaya melaksanakan Larian Senyap 4.0 Sibu yang diadakan di Sibu Town Square pada 5 Mei 2024 dengan penyertaan seramai 649 peserta melebihi sasaran asal iaitu 500 peserta. -TVS