PARIS, 2 Ogos: Penerjun muda sensasi negara Bertrand Rhodict Lises dijangka menggegarkan kolam renang Olympic Aquatics Centre Paris bagi acara 10m platform lelaki pada 9 Ogos depan.
Berdasarkan laman web rasmi Sukan Olimpik 2024, atlet kelahiran Sarawak itu dijadualkan berdepan perenang 28 negara dan akan beraksi pada jam 4.00 petang waktu tempatan.
Sebelum ini Bertrand menjalani latihan di Australia dan London bagi menyesuaikan diri dengan zon masa di Eropah sebelum terbang ke Paris.
Untuk rekod, Betrand yang berusia 19 tahun itu merupakan atlet negara pertama layak secara merit ke Paris selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas.
Lebih menarik Bertrand juga tampil sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris .
Lebih menarik, beliau menjadi anak Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Olimpik selepas atlet olahraga, Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan Nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.
Selain Bertrand Rhodict Lises turut dipilih membawa Jalur Gemilang adalah atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif. – TVS