KUCHING, 1 Ogos: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mensasarkan sifar kebakaran hutan besar di Miri dalam tempoh cuaca panas dan kering, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau mempengerusikan mesyuarat JPBNS dengan jawatankuasa peringkat daerah dan bahagian serta jabatan dan agensi berkaitan bagi membincangkan persediaan menghadapi situasi, semalam.
Menekankan tentang tumpuan terhadap Miri, beliau berkata ini adalah kerana daripada 152 titik panas dikesan di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Julai tahun ini, 42 daripadanya dikesan di Bahagian Miri.
“Untuk bulan Jun sahaja, 90 tittik panas dikesan di negeri ini. Daripada jumlah itu, Miri mempunyai 21 titik panas, disusuli Kapit 16 titik panas serta Bintulu dan Sri Aman, masing-masing 11 titik panas.
“Tanah gambut di Kuala Baram, Miri mudah berlaku kebakaran belukar semasa cuaca panas dan kering,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mahu jabatan dan agensi berkaitan serta pemilik tanah mengambil pendekatan proaktif bagi mengelakkan kebakaran.
“Saya memohon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerbangkan dron bagi mengesan kebakaran dan seterusnya bertindak,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.