PARIS, 1 Ogos: Sebuah zon peminat di Sukan Olimpik Paris 2024 telah dua kali disabotaj, beberapa hari selepas kabel di talian kereta api jarak jauh dan talian gentian optik utama Perancis juga dipotong, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pada Isnin, pegawai di zon peminat Château de Vincennes di pinggir Paris mendapati kabel penghantaran ke skrin besar telah dipotong.
Kabel berkenaan sudah dibaiki tetapi kemudian rosak semula pada waktu malam, kata pejabat Pendakwa Raya Paris pada Rabu.
Tiada kaitan lagi yang dapat dibuktikan dengan penyiasatan sabotaj lain yang melibatkan Sukan Olimpik.
Kabel gentian optik milik beberapa penyedia telekomunikasi sebelum ini rosak di seluruh Perancis dan penyerang yang tidak dikenali melakukan sabotaj ke atas rangkaian kereta api Perancis, menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan kereta api sejurus sebelum pembukaan temasya sukan itu minggu lepas.
Pihak berkuasa masih belum menyatakan siapa yang mungkin bertanggungjawab ke atas pelbagai tindakan khianat itu. -TVS