Kuala Lumpur, 1 Ogos: Blimey, YouTuber popular dan pempengaruh media sosial yang dikenali dengan kandungan menarik mengenai kehidupan antara Korea dan Malaysia, akan melancarkan single pertama mereka yang bertajuk ‘Saranghae Kawanku’ pada 9 Ogos 2024.
Single yang menggabungkan elemen muzik pop Korea dengan sentuhan muzik tempatan Malaysia itu mencerminkan semangat persahabatan dan cinta antara kedua-dua negara.
Blimey, yang terdiri daripada Dasol dan Jade, telah meraih populariti di platform YouTube melalui video-video mereka yang membincangkan budaya, makanan, dan gaya hidup di Korea dan Malaysia.
Mereka juga sering mendapat perhatian kerana keunikan gaya mereka dalam menyampaikan informasi dan hiburan, serta interaksi mesra dengan penonton.
Pelancaran “Saranghae Kawanku” dijangka mendapat sambutan hangat daripada pengikut serta peminat setia mereka, serta menarik perhatian pendengar baharu dengan konsep unik dan melodi ‘catchy’ lagu ini.
Majlis pelancaran single ini akan diadakan di GeTai @ A Quiet Place, Bukit Bintang, dari pukul 3 petang hingga 6 petang.
Lebih menarik lagi, video muzik itu bakal menampilkan cameo khas seperti Alisha, Aries Kwan, Baerin, Crystal Lim, Lil Adams, dan N.Farrah yang terdiri daripada penerbit muzik, pelakon, pempengaruh media sosial, dan pengacara.
Lagu itu nanti boleh didengarkan di pelbagai platform penstriman muzik digital seperti Apple Music, Deezer, Instagram, Spotify, TikTok, dan YouTube. – TVS