KUCHING, 31 Julai: Hanya agensi media yang membuat laporan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dibenarkan untuk menggunakan logo dan maskot bagi tujuan tersebut.
Perkara itu dinyatakan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Anderson Tiong Ing Heng menerusi surat rasmi kepada Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon berhubung perkara agensi media yang membuat liputan tidak perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada pihaknya.
“Namun, ia tidak meliputi penggunaan komersil reka bentuk tersebut untuk tujuan perniagaan atau perdagangan tanpa kebenaran yang sewajarnya,” menurutnya.
Semalam, SMA menggesa semua pihak supaya tidak menggunakan logo dan maskot SUKMA ke-21 Sarawak 2024 tanpa persetujuan atau kebenaran SMA berkuat kuasa serta-merta.
Ini kerana maskot itu telah didaftarkan SMA di bawah Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 dan Seksyen 10(1)(i) Ordinan Lembaga Multimedia Sarawak 2017.
Anderson berkata mana-mana pihak yang didapati sengaja melakukan perbuatan berkenaan bertanggungjawab secara langsung dan/atau secara wakil bagi pelanggaran hak cipta dan SMA memandang serius pelanggaran ini untuk melindungi hak harta inteleknya.
Beliau berkata pihaknya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil dan jenayah tanpa rujukan dan/atau notis lanjut. – TVS