KUALA LUMPUR, 29 Julai: Penyelidikan akademik serta inovasi yang dilakukan oleh pelajar tahun akhir bukan sahaja melengkapkan silibus akademik, tetapi juga berfungsi sebagai langkah kreatif untuk menyelesaikan masalah.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Dr Norazah Abdul Rahman berkata cetusan idea yang kreatif dan inovatif mampu melonjakkan pencapaian industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang, terutama dalam mendepani pembangunan ekonomi digital.
“Penganjuran pameran ini (Jelma by Bold) memberikan makna yang mendalam kepada karya kreatif dan inovatif yang dipamerkan secara kerjasama antara pelajar, pensyarah dan industri,” katanya pada majlis perasmian pameran Jelma by Bold 2024 di sini, baru-baru ini.
Jelma by Bold 2024, pameran yang menampilkan karya 118 pelajar semester akhir program Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik di UiTM Kampus Puncak Alam.
Ia diadakan selama lima hari di GMBB Bukit Bintang, Kuala Lumpur, bermula dari 24 Julai hingga 28 Julai 2024.
Dalam pada itu, UiTM menerusi kenyataan berkata, pameran ini juga membantu pelajar membina jati diri dalam berkomunikasi dengan baik, memberi pendedahan dalam menguruskan program pameran, merasai suasana pembentangan dan menyampaikan maklumat hasil kerja tahun akhir mereka.
Mereka turut mengaplikasikan konsep-konsep teori dan prinsip-prinsip yang telah dipelajari dalam situasi sebenar.
Selain itu, penceramah dari industri turut dijemput untuk berkongsi pengalaman kerja, hala tuju hidup, falsafah, harapan dan impian yang memberi inspirasi kepada pelajar khususnya dalam bidang kreatif dan inovatif.
“Pameran ini juga merupakan platform terbaik untuk organisasi awam dan swasta menemui bakat berpotensi, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mempengaruhi kebolehkerjaan serta persaingan dalam pasaran kerja selepas tamat pengajian.
“Ia juga boleh menyumbang kepada pertumbuhan idea baharu dalam sektor industri kreatif,” kata kenyataan itu.