KUALA LUMPUR, 29 Julai: Kepengerusian ASEAN di Malaysia pada 2025 telah memperkasakan ekonomi seluruh negara malah perkembangan positif itu mula dilihat pada tahun ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga perlu menggarap peluang tersebut bagi menikmati limpahan ekonomi susulan penganjuran pelbagai forum di beberapa lokasi di seluruh negara.
Jelasnya, ASEAN merupakan sebuah blok penting kerana mempunyai pertumbuhan ekonomi yang pantas di peringkat antarabangsa.
“Ramai bertanya apakah rahsia Malaysia (kerana bagi) suku pertama tahun ini, ekonomi (kita) tumbuh sebanyak 4.2 peratus, suku kedua mereka jangkakan kita di bawah empat peratus sebaliknya kita capai 5.8 peratus dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan iklim pelaburan kurang menggalakkan.
“Ekonomi kita melonjak dan mereka (pemimpin luar ASEAN) ingin tahu model ekonomi yang kita gunakan.
“Saya kata Malaysia gunakan kerangka ekonomi Madani ‘raise the ceiling’ dan ‘raise the floor’ untuk bawa masuk teknologi terkini dan ekonomi berprestasi tinggi datang ke Malaysia sekali gus menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan transformasi digital Malaysia yang bermula tahun ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu penekanan yang perlu dilakukan untuk pastikan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berjaya.
Dewan Rakyat: Sarawak jadi lokasi mesyuarat pemimpin antarabangsa sempena ASEAN 2025
Mohamad Hasan berkata, Kementerian Luar menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, selaras dengan nilai dan identiti ASEAN yang berpaksikan rakyat.
Ujar beliau, kepengerusian ASEAN di Malaysia berpandukan kepada tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
“KLN juga akan teruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran awam melalui penggunaan media tradisional iaitu temu bual bersama stesen radio dan televisyen dan penerbitan artikel di surat khabar dan majalah pada tahun ini dan tahun hadapan,” katanya lagi. – TVS.