KUALA LUMPUR, 29 Julai: Pelabuhan Bintulu diyakini akan akan beroperasi seperti selepas statusnya berubah menjadi milik Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, perkembangan itu juga tidak akan menjejaskan fungsi mereka sebagai pengendali pelabuhan.
“(Sebenarnya) wakil dari Kerajan Persekutuan seperti PETRONAS tetap ada di situ. Inilah keunikan kita dalam mengekalkan semangat Persekutuan (yang) saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang – Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 di Dewan Negara hari ini.
Dalam aspek pengurusan, Ahmad berkata kemampuan dan iltizam Kerajaan Sarawak untuk mengurus serta mentadbir pelabuhan berkenaan tidak perlu diragui.
“(Pengembaliaan pelabuhan ini kepada Kerajaan Sarawak) dapat mengurangkan beban pengurusan oleh Kerajaan Persekutuan dengan pemindahan tanggungjawab operasi harian kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.
Sementara itu Ahmad berkata dalam aspek penurunan hak kuasa, obligasi, hak dan kewajipan pematuhan Lembaga Pelabuhan Bintulu itu merupakan permulaan yang baik kepada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak perlu digusarkan kerana ianya tetap sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Dengan mengalihkan pengurusan kepada Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang sedia ada untuk fokus pada perkara-perkara yang penting dan dapat mengurangkan perbelanjaan langsung yang berkaitan dengan pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan pelabuhan tersebut,” tambah beliau. -TVS.