KUALA LUMPUR, 29 Julai: Dewan Negara dimaklumkan mangsa sindiket penipuan dalam talian akan menerima kembali wang mereka dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, duit mangsa yang berjaya dijejaki oleh polis itu akan ‘disimpan’ sementara menunggu kes perbicaan selesai di mahkamah.
Jelas beliau, perkara itu dilakukan berdasarkan peruntukan undang – undang sesi ada iaitu Perkara 413 Kanun Tatacara Jenayah.
“(Ini) adalah seksyen yang polis boleh gunakan untuk kembalikan wang kepada mangsa (namun) secara sementara kita ‘parking’ (simpan) dahulu wang itu sehingga kes selesai,” katanya di sini hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang ingin tahu jaminan Kementerian Dalam Negeri untuk mengembalikan wang mangsa yang majoritinya pesara serta sama ada kerajaan menyediakan khidmat kaunseling untuk mereka.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan trend penipuan dalam talian semakin meningkat dan melibatkan pelbagai latar belakang mangsa sehingga mewujudkan keperluan di pihak kerajaan untuk mengetatkan undang – undang sedia ada.
“(Penipuan dalam talian kena) kepada semua orang tidak kira latar kaum, (termasuk) pesara, (golongan) profesional, peguam, juruterbang, pesara guru (selepas) kita (polis) analisis siapa jadi mangsa.
“Oleh kerana kita sudah tahu profailing mangsa, maka elemen kaunseling serta pencegahan menjadi komponen penting.Kita ada program outreach, seminar, ceramah dan (penglibatan) media untuk menyebar luas mesej kepada rakyat agar tidak terjebak,” katanya.
Tambahnya, polis juga sedang meneliti beberapa kekangan yang dihadapi dalam membanteras penipuan dalam talian termasuk waktu operasi pasukan pencegahan yang terhad.
“(Selain itu) KDN juga menubuhkan unit data sains bagi menganalisis pelbagai data yang memberikan gambaran kepada pihak berkuasa mengenai trend jenayah yang dijangka akan berlaku.
“KDN ini kaya dengan data, data adalah perniagaan baharu dalam dunia sumber pendapatan am. Data ini kita wujudkan khususnya untuk menganalisa kesemua data yang ada dalam KDN, dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang gangguan seksual dan sebagainya supaya kita boleh datang dengan model ramalan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Zurainah Musa. -TVS.